Wednesday, July 20, 2011

Kertas Kerja Program Bina Insan Guru Fasa 4


Klik pada gambar untuk download
Anda juga boleh klik pada link di bawah untuk download

Tarikh : 26-29 Julai 2011
Tempat : FELDA Gedangsa, Kuala Kubu Baru, Selangor Darul Ehsan
Bil. pelajar : 25 orang (PISMP Matematik Ambilan Januari 2010)

Saturday, July 16, 2011

Teknik Menggambar

Kanak-kanak adalah unik dan berbakat dalam seni. Guru yang berperanan sebagai pembolehubah perlu kreatif dan mempunyai tahap sensitif yang tinggi dalam menyediakan pengalaman seni untuk kanak-kanak. Disamping itu, guru juga perlu berupaya meletakkan diri mereka dalam diri kanak-kanak bagi memahami keperluan kanak-kanak tersebut dalam memperkembangkan pemahaman kanak-kanak melalui pemikiran dan pengalaman.

Mengikut Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR, bidang menggambar adalah satu bidang yang menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran seseorang murid. Bidang ini melihat kemampuan murid terhadap aspek serta kegiatan mereka dalam membuat gambar dengan menggunakan pelbagai media dan teknik disamping itu, ia menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi dalam sesuatu karya. Antara kegiatan yang dijalankan dalam bidang ini ialah lukisan, catan, kolaj, montaj, cetakan, resis, gosokan, stensilan, percikan, gurisan, capan dan mozek .

Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri seseorang murid. Bidang menggambar meliputi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar membolehkan murid mengenali dengan lebih dekat lagi pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran murid terhadap alam sekitar melalui pemerhatiannya menjadi fokus utama bidang menggambar ini.

























Saturday, July 2, 2011

Asas Seni Reka

Asas seni reka sangat penting dalam penghasilan sesebuah karya. Karya seni yang baik adalah hasil gabungjalin antara unsur seni dan prinsip rekaan.


Unsur Seni

Unsur seni terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu:

Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual.

Rupa mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya.

Bentuk mempunyai struktur jisim dan isipadu. Bentuk dapat dihasilkan melalui lukisan, catan, arca, komputer dan kraf tradisi. Terdapat 2 jenis bentuk iaitu bentuk konkrit dan ilusi. Bentuk konkrit ialah bentuk sebenar yang bersifat 3 dimensi. Bentuk ilusi ialah bentuk yang dilihat melalui gambar atau ilustrasi. Ianya bersifat rata dan boleh dihasilkan melalui lakaran, catan dan lukisan berkomputer 3 dimensi.

Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu jalinan sentuh dan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan.

Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek

Warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier.

  • Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier
  • Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas.
  • Warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.

Prinsip Rekaan

Harmoni wujud di alam sekeliling apabila munculnya susunan atau ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentu. Tujuan menghasilkan kesan harmoni adalah untuk menarik perhatian pada sesuatu gubahan, objek atau imej.

Kontra wujud apabila salah satu daripada unsur-unsur seni mempunyai ciri-ciri yang bertentangan di antara satu sama. Ianya bertujuan untuk menimbulkan kesan yang menarik pada sesebuah karya seni. Kontra berkait rapat dengan penegasan (semakin tinggi kadar kontra semakin jelas penegasan).

Penegasan ialah sesuatu yang boleh menarik perhatian dan tumpuan kepada pemerhatian tampak. Ianya berfungsi sebagai daya penarik, pemusatan karya, mengelak kebosanan dan menjadikan gubahan lebih menarik.

Imbangan ialah keadaan gubahan yang sama sempadan, sama berat dan graviti, sama kecerahan warna, sama padan dan sama gaya penampilan.Terdapat tiga jenis imbangan iaitu imbangan simetri, tidak simetri dan imbangan semua arah.

Pergerakan wujud apabila terdapatnya keadaan yang bergetar,bergoyang, bergegar, berayun, bersinar-sinar dan sebagainya. Pergerakan bertujuan untuk memberi ‘nyawa’, rupa dan bentuk visual dalam seni tampak dua dimensi.

Kepelbagaian merupakan keadaan penggabungan pelbagai gaya, nilai dan idea yang berbeza. Susunan atau ulangan unsur-unsur seni yang bertentangan arah dan berbeza saiznya akan mewujudkan kepelbagaian.

Kesatuan merupakan olahan motif atau ulangan unsur-unsur seni secara sistematik, berpandukan grid berdasarkan tema atau idea sesuatu hasil karya. Susun atur yang kemas, teratur, lengkap dan sempurna dapat mewujudkan kesatuan.

Friday, July 1, 2011

4 Bidang dalam PSV KBSR

Kandungan Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun dalam empat bidang kegiatan iaitu:

1. Menggambar
2. Membuat Corak dan Rekaan
3. Membentuk dan Membuat Binaan
4. Mengenal Kraf Tradisional

Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual serta menghargai nilai baik. Pengajaran akan dilakukan secara bersepadu.

1. Menggambar

Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah:
1.1 Lukisan
1.2 Catan
1.3 Kolaj
1.4 Montaj
1.5 Cetakan
1.6 Resis
1.7 Gosokan
1.8 Stensilan
1.9 Percikan
1.10 Gurisan
1.11 Capan
1.12 Mozek
1.13 Poster

Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi fokus kegiatan menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Ini akan membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami dengan apa yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

2. Membuat Corak dan Rekaan

Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya.

Corak terhasil daripada pelbagai teknik dan cara. Antaranya melalui kegiatan seperti:

2.1 Corak tidak terancang secara:

2.1.1 Pualaman
2.1.2 Tiupan
2.1.3 Titisan
2.1.4 Ikatan dan celupan
2.1.5 Renjisan dan percikan

2.2 Corak terancang secara:

2.2.1 Lukisan
2.2.2 Catan
2.2.3 Cetakan
2.2.4 Capan
2.2.5 Lipatan dan guntingan
2.2.6 Resis
2.2.7 Kolaj
2.2.8 Kaligrafi

Bidang ini membolehkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.

3. Membentuk dan Membuat Binaan

Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan aspek tersebut murid dapat memahami dengan lebih jelas bila mereka membentuk dan membina sesuatu model. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan juga mendedahkan murid dengan penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan. Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi secara kreatif dengan alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan seni. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti:

3.1 Arca timbul
3.2 Asemblaj
3.3 Mobail
3.4 Stabail
3.5 Model
3.6 Diorama
3.7 Boneka
3.8 Topeng
3.9 Origami

Kegiatan membentuk dan membuat binaan memberi peluang kepada murid membuat rujukan kepada objek sebenar. Perbandingan ini akan memberi kesedaran bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

4. Mengenal Kraf Tradisional

Kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang melibatkan kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh masyarakat yang diwarisi turun-temurun. Di sekolah rendah, murid diperkenalkan dengan kraf tradisional seperti:

4.1 Alat domestik
4.2 Alat permainan
4.3 Alat pertahanan diri
4.4 Perhiasan diri (ornamen)
4.5 Batik
4.6 Tekat
4.7 Ukiran
4.8 Tenunan
4.9 Anyaman
4.10 Tembikar

Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional dalam budaya tanah air. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi, proses dan teknik membuat, alat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran yang merangkumi pengenalan, proses pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh bagi setiap bidang kraf yang dinyatakan. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...