Monday, January 25, 2010

IMPLIKASI FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA


Implikasi Terhadap Kurikulum.

Kurikulum di sekolah mengalami perubahan sukatan pelajaran yang berorientasikan kepada program bersepadu. Setiap sekolah menerima sukatan pelajaran yang sama dan selaras. Ini kerana mengelakkan dari berlakunya sifat iri hati di kalangan pelajar kerana setiap sekolah belajar mengikut sukatan yang berlainan. Ini adalah bersalahan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan individu yang seimbang. Bahan-bahan pelajaran yang dibekalkan juga diserapkan di dalamnya nilai-nilai murni dengan tujuan untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan juga diubah menjadi pendidikan yang umum. Semua rakyat mampu untuk ke sekolah tetapi berlainan pada zaman dahulu hanya golongan berada sahaja yang mampu untuk ke sekolah. Pelajaran untuk melatih pelajar mahir dalam teknologi pula diserapkan bagi membawa Malaysia kea rah yang maju dan tidak ketinggalan. 

Friday, January 15, 2010

FAKTOR-FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Faktor Agama
Agama Islam merupakan agama rasmi bagi negara Malaysia. Di samping itu, Agama Kristan, Agama Budha, Agama Hindu dan sebagainya juga bebas dianuti mengikut undang-undang negara. Agama-agama ini, khasnya agama Islam merupakan faktor-faktor yang penting sebagai pertimbangan asas dalam proses penggubalan Falsafah Pendidikan Negara. Unsur agama ini dapat dihayati daripada pernyataannya, iaitu

“...mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan...”

Faktor Politik
Sebagaimana yang diketahui umum, Falsafah Pendidikan Negara digubah berlandaskan kepada ideologi negara yang dicerminkan dalam dokumen-dokumen rasmi seperti Laporan Pendidikan, Rancangan Malaysia dan Rukun Negara. Di dalam usaha membentuk ideologi negara, pengaruh politik memainkan peranan penting dalam penentuan dasar pendidikan negara. Sehubungan ini,matlamat pencapaian perpaduan kaum menjadi pertimbangan asas dalam penggubalan Falsafah Pendidikan Negara. Matlamat ini dapat diperlihatkan daripada pernyataan Falsafah Pendidikan Negara, sebagaimana yang telah dihuraikan dalam pengaruh faktor sosial tersebut di atas.

“...melahirkan rakyat Malaysia.... berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara...”

Faktor Ekonomi
Rakyat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran dapat membantu negara memperkembangkan ekonomi dengan meningkatkan daya pengeluarannya. Tujuan ini dapat dicapai dengan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berupayaan untuk memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara. Cita-cita memperkembang ekonomi Malaysia telah menjadi salah satu matlamat pendidikan negara yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

“...melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri...”

Faktor Sosial
Masyarakat Malaysia terdiri daripad berbilang kaum. Keharmonian dan kemakmuran negara bergantung kepada amalan sikap toleransi, bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Sikap yang positif ini adalah amat penting dalam usaha mencapai perpaduan kaum yang merupakan kriteria yang paling penting untuk mewujudkan keadaan sosial yang stabil. Tujuan mencapai perpaduan kaum telah menjadi salah satu matlamat pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara, iaitu:

“...melahirkan rakyat Malaysia...memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara...”

Faktor Individu
Potensi individu dapat dikembangkan melalui proses pendidikan. Potensi individu ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu akan menjadi insan yang seimbang dan harmonis. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa mengamalkan sikap bersyukur, sentiasa menikmati ketenteraman jiwa serta bersedia menghadapi cabaran hidup dengan tenang. Cita-cita melahirkan individu yang seimbang dan harmonis merupakan pernyataan utama dalam kandungan Falsafah Pendidikan Negara.

“…memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani…”

Faktor Sejagat
Penggubalan Falsafah Pendidikan Negara pula tidak terpisah daripada pengaruh perkembangan sistem pendidkan antarabangsa. Sehubungan itu, idea-idea yang dihasilkan daripada seminar pendidikan antarabangsa pula membawa pengaruhnya ke atas Falsafah Pendidikan Negara. Misalnya, program pendemokrasian pendidikan, pensarwajagatan pendidikan dan pendidikan seumur hidup dirancang oleh UNESCO dalam tahun 1980-an telah dimanifestasikan dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Negara iaitu pendidikan di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan. Hal Ini jelaslah mencerminkan konsep pendidikan seumur hidup.

“..Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh...”

Warganegara yang berketerampilan dan berilmu pengetahuan dapat direalisasikan andainya diberi pendedahan awal tentang kepentingan ilmu semasa di sekolah lagi. Oleh itu, sistem pendidikan di Malaysia perlu merangkumi aspek sejagat yang boleh melahirkan warganegara yang bertaraf antarabangsa setaraf dengan negara maju yang lain.

Sunday, January 10, 2010

KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Negara Malaysia sedang mengalami proses pembangunan, oleh itu agak penting kita mempunyai falsafah pendidikan kita sendiri. Falsafah Pendidikan Negara (FPN) digubal pada 1988, berdasarkan dokumen-dokumen dasar dan ideologi Negara. Kini FPN dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. 

Friday, January 8, 2010

PENGENALAN KEPADA TAMADUN

1. DEFINISI TAMADUN
  • Berasal daripada perkataan Arab yang bererti kehalusan budi bahasa dan kesopanan tingkah laku.
  • Berpunca dari kata kerja “maddana” yang bererti memperhalus budi bahasa dan memperelok tingkah laku.
  • Juga membawa erti membuka bandar.
  • Terbit pula perkataan “madinah” yang bermaksud bandar dan juga “madani” iaitu orang yang berkelakuan seperti orang bandar yang bersifat halus dalam budi bahasa dan beradab sopan dalam tingkah laku.
  • Kesimpulannya, istilah “tamadun” boleh ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran dan penciptaan yang baik, halus, sopan santun bagi pembentukan peribadi, akhlak, tingkah laku serta budi bahasa yang mulia bagi individu dan juga sesuatu kelompok manusia yang membentuk sesebuah masyarakat atau negara bangsa. Ringkasnya, tamadun boleh dilihat sebagai pencapaian satu bentuk budaya tinggi.

Thursday, January 7, 2010

PENGENALAN KEPADA FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...