Sunday, March 20, 2011

PERANAN UNIT BERUNIFORM DI SEKOLAH DALAM MEMBINA SEMANGAT KEKITAAN





1.0 KONSEP SEMANGAT KEKITAAN/ESPIRITS DE CORPS
Esprit de Corps berasal dari perkataan Perancis yang membawa maksud semangat bekerjasama, semangat kekitaan ataupun semangat berpasukan. Dengan kata lain ini adalah suatu semangat yang dapat menyatukan manusia khususnya dalam sesebuah negara. Esprit de Corps amatlah penting dalam sesebuah negara kerana ia mampu menjana perpaduan dan kemajuan dalam sesebuah negara dan yang terpenting kemampuan semangat ini untuk mengekalkan keamanan sekaligus dapat menjana kedaulatan dan keutuhan sesebuah negara.
Esprit de Corps telah lama diaplikasikan oleh kerajaan dalam pelbagai cara dan bentuk di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya atau boleh juga dirujuk sebagai masyarakat plural. Masyarakat Malaysia yang sememangnya terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya memerlukan semangat ini sebagai tunjang perpaduan dan keutuhan dalam menjalanai kehidupan bermasyarakat.
Keperluan merealisasikan semangat kekitaan ini sangat tinggi di Malaysia. Hal ini demikian kerana setiap masyarakat di Malaysia secara umumnya terpisah mengikut kaum, budaya, geografi dan status ekonomi. Perkara ini telah berlaku sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Setelah negara mencapai kemerdekaan, warisan daripada pemisahan ini nampaknya masih lagi kelihatan. Di sini secara jelas bahawa dasar pecah dan perintah British masih lagi kelihatan di Malaysia. Namun begitu, pemisahan mengikut kaum yang wujud kini sudah tidak lagi seperti di awal kemerdekaan negara dahulu. Masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia kelihatannya sudah boleh menyesuaikan diri antara satu sama lain. Malah, di Malaysia kini terbukti sudah ada perkahwinan yang berlainan kaum. Di sini sudah jelas terbukti bahawa esprit de corps telah wujud di Malaysia.
Kerajaan telah merancang berbagai strategi jangka panjang untuk menyelesaikan masalah berkaitan perpaduan antara kaum dan etnik. Hubungan. Antaranya adalah melalui dasar-dasar pendidikan pada tahun 1970an seperti perubahan aliran Inggeris kepada bahasa Melayu. Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet dihasilkan sebagai matlamat untuk mencapai perpaduan dalam masyarakat pelbagai etnik. Sistem pendidikan melalui bahasa kebangsaan, pengalaman persekolahan yang sama dan peperiksaan yang selaras telah menyediakan pengalaman-pengalaman yang bertujuan mensosialisasikan pelajar-pelajar ke arah cara berfikir yang sama.
Pada masa kini, murid-murid di sekolah dididik untuk memeperkembangkan nilai-nilai positif yang akan menggalakkan perpaduan. Kurikulum sekolah dibentuk sebegitu rupa agar ianya mempunyai hubungan yang erat dengan perpaduan nasional. Kurikulum juga dapat membentuk personaliti dan watak baik sebagaimana yang dikehendaki oleh aspirasi negara.
Semangat ini juga telah diterapkan di sekolah melalui kegiatan kokurikulum. Kegiatan kokurikulum di sekolah sangat penting untuk menyemai, memupuk dan menanam perasaan kekitaan ataupun ‘Espirits De Corps’ antara murid-murid pelbagai keturunan yang mempunyai latar belakang dan cara hidup yang berlainan.
Jadi, semangat ini adalah penting dan menjadi tunjang kepada perpaduan masyarakat kerana tanpa semangat ini maka perpaduan tidak akan wujud malah semangat assabiyah yang akan mengambil alih lalu memecah-belahkan masyarakat.
2.0 PERANAN PIHAK PENGURUSAN SEKOLAH
Kokurikulum merupakan antara agenda utama di SK Pahi bagi memupuk dan menyemai semangat kekitaan dalam kalangan murid-murid serta dapat merialisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Terdapat tiga jenis kokurikulum yang dijalankan di sekolah ini iaitu persatuan, kelab dan permainan dan unit beruniform.
Aktiviti kokurikulum adalah sebahagian daripada kurikulum sekolah, dan setiap murid harus melibatkan diri. Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam dan di luar bilik darjah, mengikut kesesuaian sesuatu aktiviti. Aktiviti kokurikulum dapat menyediakan pelbagai pengetahuan dan pengalaman untuk untuk perkembangan mental, minat, bakat, jasmani, rohani dan pembentukan nilai-nilai estetika serta sosial yang positif.
Justeru, pihak pengurusan sekolah khususnya melalui peranan unit beruniform sekolah memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan semangat kekitaan dalam kalangan murid berjaya dipupuk.
2.1 Peranan Guru Besar
Guru besar merupakan orang yang bertanggungjawab memastikan visi dan misi sekolah tercapai. Guru besar bertanggungjawab memastikan penubuhan persatuan, dan kelab sukan dan permainan dan pasukan-pasukan unit beruniform.
Antara pasukan unit beruniform yang telah diwujudkan di SK Pahi adalah Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah, Tunas Kadet Remaja Sekolah dan Pandu Puteri.
Selain itu, beliau juga menentukan bahawa unit-unit ko-kurikulum itu berjalan dengan baik, teratur dan sempurna dengan susunan program yang lengkap, sesuai dan praktikal.
Berdasarkan temubual bersama guru besar sekolah ini iaitu Encik Yahya Bin Esa, beliau menyatakan unit beruniform sekolah ini sangat aktif dengan mengadakan, menghadiri dan menyertai perkhemahan perdana peringkat sekolah, daerah dan negeri.
Beliau juga telah memberikan insentif kepada murid-murid yang telah mewakili daerah dan negeri dalam pasukan unit beruniform sebagai tanda penghargaan kerana telah mengharumkan nama sekolah.
Melalui penyertaan murid-murid dalam pasukan unit beruniform, beliau menegaskan bahawa semangat sepasukan dan kerjasama dapat diwujudkan sekaligus dapat mewujudkan perpaduan seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
2.2 Peranan Guru Penolong Kanan Kokurikulum
Guru Penolong Kanan Kokurikulum merupakan antara orang terpenting di sekolah. Beliau menjalankan tugas-tugas Guru Besar semasa ketiadaan Guru Besar, PK Pentadbiran dan PK HEM. Beliau juga bertanggungjawab kepada Guru Besar dalam aspek pengurusan kokurikulum.
Berdasarkan temubual bersama GPK Kokurikulum, En. Nokman Bin Mat Hassan, beliau menjelaskan antara tugas beliau ialah sentiasa membantu Guru Besar dalam semua aspek perancangan dan pengurusan kokurikulum sekolah. Dalam aktiviti unit beruniform, beliau juga sentiasa memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Beliau juga terlibat secara langsung dalam aktiviti unit beruniform. Beliau sentiasa memantau pelaksanaan aktiviti uit beruniform pada setiap hari Rabu.
Selain itu, beliau merupakan orang yang menyelia dan menilai aktiviti Kokurikulum sekolah. Beliau sentiasa memantau aktiviti yang dijalankan supaya mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Seterusnya, beliau juga menguruskan kursus dan latihan untuk guru dan murid dalam unit beruniform bagi memantapkan lagi nilai kepimpinan dan semangat kekitaan.
Beliau juga menyatakan bahawa bagi menerapkan dan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan murid-murid, semua guru atau jurulatih bagi setiap unit beruniform sentiasa dinasihatkan oleh beliau supaya menerapkan nilai tersebut semasa sesi latihan. Dengan ini secara tidak langsung, murid-murid dapat menghayati dan menghargai nilai perpaduan.
2.3 Peranan Organisasi Kokurikulum
Dalam memupuk semangat kekitaan menerusi badan unit beruniform di sekolah, peranan organisasi Kokurikulum memang memainkan peranan yang sangat penting. Hal ini demikian kerana organisasi Kokurikulum merupakan sebuah organisasi yang bertanggungjawab penuh dalam memastikan aktiviti unit beruniform di sekolah berjalan seperti yang telah dirancangkan.
Semua guru memainkan peranan dalam memastikan kegiatan unit beruniform di sekolah menjadi aktif. Guru-guru sepatutnya tidak boleh terlepas daripada menyertai latihan yang disertai oleh murid-murid bagi memastikan murid-murid mendapat latihan yang sebetulnya sekaligus guru dapat meningkatkan semangat kekitaan dalam kalangan murid-murid.
Seterusnya, guru-guru perlulah sentiasa membimbing murid-murid untuk menghayati semangat kekitaan ini bukan setakat semasa latihan unit beruniform. Guru-guru mestilah memupuk nilai ini pada setiap masa.
Selain itu, guru-guru juga bertanggungjawab melaksanakan semua aktiviti dan program terutamanya aktiviti yang melibatkan unit beruniform yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dengan penuh semangat. Guru-guru juga sepatutnya sentiasa memberikan motivasi kepada murid-murid untuk menyertai program yang telah disediakan oleh pihak sekolah.
3.0 PRASARANA
Sekolah Kebangsaan Pahi mempunyai kemudahan dan peralatan yang agak lengkap bagi menjalankan aktiviti unit beruniform. Melalui pemerhatian saya di setor sekolah ini, terdapat 15 buah khemah igloo, 5 khemah triangle, 10 bilah parang, tali, peralatan dapur seperti periuk, dapur gas, kuali, sudu, garfu, senduk dan lain-lain. Peralatan-peralatan ini sangat diperlukan ketika sekolah mengadakan perkhemahan unit beruniform. Peralatan-peralatan ini juga digunakan ketika aktiviti perkhemahan di luar sekolah.
Pihak sekolah sentiasa memastikan peralatan ini dalam keadaan yang baik dan selamat untuk digunakan. Bagi memastikan peralatan-peralatan ini selamat, peralatan-peralatan ini disimpan di dalam setor sekolah. Setiap peralatan mempunyai nombor siri dan diletakkan mengikut label yang telah dibuat.
Terdapat beberapa prosedur yang mesti dipenuhi oleh murid-murid mahupun guru-guru sekiranya ingin meminjam peralatan-peralatan ini. Antaranya, mereka perlu mengisi borang pinjaman peralatan selewat-lewatnya sehari sebelum tarikh untuk digunakan. Tarikh pemulangan pula perlu dilakukan selewat-lewatnya tiga hari selepas digunakan. Ini bagi memastikan peralatan ini tidak hilang. Semasa pemulangan, peralatan tersebut akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan peralatan tersebut berada dalam keadaan baik. Sekiranya peralatan tersebut rosak atau hilang, tindakan yang sewajarnya akan dikenekan terhadap peminjam.
Seterusnya, langkah pemeriksaan terhadap keselamatan peralatan tersebut akan dilakukan secara berkala sekurang-kurangnya sekali sebulan. Sekiranya terdapat sebarang kerosakan, pihak sekolah akan membeli peralatan yang baru.
Dari aspek pengisian dan kecerian papan maklumat unit beruniform, guru-guru dan murid-murid saling bekerjasama dalam memastikan papan maklumat ini sentiasa ditampal maklumat-maklumat baru serta dihias supaya kelihatan lebih menarik. Pada papan maklumat ini tertera carta organisasi, program-program yang dirancang serta matlamat setiap unit beruniform.
4.0 PROGRAM DAN AKTIVITI
Pelbagai program dan aktiviti unit beruniform yang telah dirancang dan dilaksanakan di SK Pahi. Antaranya adalah perjumpaan mingguan pada setiap hari Rabu bermula pada pukul 2.30 petang. Perjumpaan ini dimulakan dengan nyanyian lagu negaraku dan nyanyian lagu pasukan beruniform masing-masing. Dalam perjumpaan ini, murid-murid didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan baru tentang pasukan beruniform masing-masing, latihan kawad, latihan pertolongan cemas, latihan membaca peta dan ilmu hutan. Sepanjang perjumpaan ini, jurulatih atau guru yang bertugas akan menerapkan nilai kekitaan kepada murid-murid melalui pembahagian kumpulan dan sebagainya.
Selain itu, terdapat juga aktiviti perkhemahan peringkat sekolah antara pasukan beruniform. Antara pertandingan yang dijalankan seperti pertandingan kawad, pertolongan cemas, hiasan khemah tercantik dan pertandingan membaca peta. Melalui pertandingan ini, semangat kekitaan akan dapat diwujudkan melalui kerjasama yang ditunjukkan oleh murid-murid.
Program dan aktiviti unit beruniform di SK Pahi telah dirancang berdasarkan takwim yang dikeluarkan oleh bahagian pendidikan daerah dan negeri. Ini membolehkan pihak sekolah merancang program dan aktiviti dengan sebaik mungkin.
Pada pandangan saya, kegiatan unit beruniform sudah semestinya perlu dilaksanakan di sekolah rendah. Hal ini demikian kerana melalui latihan unit beruniform mampu melahirkan murid-murid yang berdisiplin. Murid-murid dilatih untuk menepati masa, menjaga adab-adab semasa latihan serta berpakaian dengan kemas.
Dalam masa yang sama pembabitan murid-murid dalam kegiatan unit beruniform dapat meneglakkan mereka terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat. Ini kerana murid-murid yang terbabit dalam aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti unit beruniform dan pelajaran mereka. Perkara ini akan meyebabkan mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat.
Melalui temubual bersama seorang guru penasihat pengakap, Encik Jasmi bin Mat Hassan, beliau menjelaskan bahawa murid-murid juga dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti unit beruniform ini. Kegiatan unit beruniform menyediakan satu “medan” yang sesuai kepada murid untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pasukan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat dan mungkin juga negara.
Beliau menegaskan lagi, aktiviti unit beruniform dapat membuka minda murid-murid tentang erti persahabatan dan pergaulan. Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti ini. Mereka dapat mengenal jenis manusia sebenar terutama apabila menghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini akan mengajar murid-murid erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar.
5.0 RUMUSAN
Kokurikulum amat penting bagi pembangunan modal insan dan kekuatan bangsa yang mulia dan bermaruah kerana ia memupuk nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang menjadi pegangan diri, menjadikan pendidikan menyeronokkan, mengurangkan tekanan dan membina watak dan peribadi yang seimbang dan holistik.
Melalui interaksi dan pemerhatian saya di SK Pahi, saya berpuas hati dengan peranan yang telah dimainkan oleh semua pihak di sekolah ini bagi menyemai, memupuk dan menanam perasaan kekitaan dalam kalangan murid-murid.
Sebagai kesimpulan, saya berharap sekolah ini dapat mengekalkan semangat memupuk semangat kekitaan ini pada masa yang akan datang. Sekiranya sekolah ini mampu berbuat demikian, saya pasti hasrat kerajaan untuk mewujudkan perpaduan antara kaum, etnik, latar belakang akan dapat dicapai dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...