Saturday, September 17, 2011

PERANAN SEKOLAH DALAM MEMBINA NEGARA BANGSA



1.0 KONSEP NEGARA BANGSA

Membina Negara Bangsa bermatlamat melahirkan murid yang memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta hidup bersatu padu.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, negara bangsa didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara-bangsa pula adalah merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dalam kalangan semua penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980).
Pembinaan Negara Bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara.

2.0 PERANAN PIHAK PENGURUSAN SEKOLAH

Dalam usaha membina Negara Bangsa seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020, pihak sekolah merupakan sebuah institusi yang bertanggungjawab memastikan semangat perpaduan dan intergrasi nasional dapat dimantapkan dalam kalangan murid-murid. Di sekolah, Guru Besar, Guru Penolong Kanan kokurikulum dan Organisasi Kokurikulum merupakan antara yang berperanan untuk merialisasikan hasrat kerajaan dalam membina negara bangsa.
Semasa temubual bersama Guru Besar SK Sultan Yahya Petra 1 (SK SYP 1), Encik Roznan bin Mohd Nor, beliau menegaskan pihak sekolah berusaha sedaya upaya untuk merialisasikan hasrat kerajaan dalam membina negara bangsa melalui empat fokus yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM).
Pertamanya, pihak sekolah telah memperkasakan Bahasa Kebangsaan. Guru Besar memastikan bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa rasmi semasa sesi pembelajaran murid-murid. Seterusnya, beliau juga telah melaksanakan Bulan Bahasa di sekolah bagi memantapkan lagi penggunaan bahasa Malaysia.
Fokus kedua KPM dalam membina Negara Bangsa ialah memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional. Justeru, pihak sekolah telah meningkatkan semangat patriotik melalui aktiviti kokurikulum seperti penubuhan persatuan dan kelab, sukan dan permainan dan unit beruniform.
Melalui temubual bersama GPK Kokurikulum, Pn. May Leng A/P Eh Wang, beliau menyatakan beliau bersama Guru Besar sentiasa memastikan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) berjalan dengan baik bagi memastikan perpaduan dapat dipupuk di sekolah.
Fokus ketiga KPM dalam membina Negara Bangsa ialah memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa. Dalam hal ini, pihak sekolah telah mengadakan kursus secara percuma kepada murid untuk belajar menulis jawi menggunakan seni khat. Pameran seni turut dilaksanakan di sekolah ini.
Fokus keempat KPM pula ialah dengan memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari. Di SK SYP 1, guru-guru sentiasa komited memberikan kefahaman kepada murid-murid tentang konsep Islam Hadhari semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran mahupun semasa aktiviti kokurikulum.
Antara peranan organisasi Kokurikulum dalam merialisasikan hasrat kerajaan dalam membina Negara Bangsa ialah dengan membangunkan persekitaran sosial yang menggalakkan komunikasi dan interaksi antara murid-murid daripada kaum, latar belakang, budaya yang berbeza bagi mewujudkan satu identiti nasional Malaysia yang dapat dibanggakan.
Selain itu, organisasi Kokurikulum perlu mengadakan perancangan strategik melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan supaya usaha memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan dapat terus ditingkatkan.

3.0 PRASARANA

SK SYP 1 mempunyai kemudahan tempat menjalankan aktiviti kokurikulum yang agak baik. Bagi aktiviti persatuan seperti persatuan Bahasa Melayu, persatuan Pendidikan Moral, persatuan Sains dan sebagainya, aktiviti perjumpaan mingguan dilaksanakan di dalam kelas. Kadang-kadang, aktiviti tersebut dijalankan di kantin dan di perpustakaan mengikut kesesuaian aktiviti yang dirancang.
Semasa mengendalikan aktiviti, aspek keselamatan ahli turut dititikberatkan. Sebelum aktiviti bermula, murid perlu melaporkan taraf kesihatan diri terlebih dahulu kepada guru. Murid-murid juga mesti mengikut arahan guru atau jurulatih sepanjang aktiviti dijalankan. Sekiranya berlaku sebarang masalah semasa aktiviti dijalankan, murid-murid perlu melaporkan kepada guru dengan segera supaya tiada bahaya yang lebih teruk timbul dan terjadi.
Guru juga bertanggungjawab memberi peringatan kepada murid supaya sentiasa menjaga aspek keselamatan diri sepanjang melakukan sebarang aktiviti. Selain itu, guru bertanggungjawab menjelaskan kepada murid tentang kepentingan menjaga keselamatan diri melalui ceramah, bengkel, perhimpunan mingguan dan sebagainya.
Bagi memastikan aspek keselamatan murid-murid, pihak sekolah mewajibkan murid-murid meminta tandatangan ibu bapa sekiranya anak-anak mereka ingin menjalankan aktiviti di luar sekolah.
Dari aspek kemudahan peralatan untuk menjalankan aktiviti kokurikulum, sekolah ini mempunyai setor yang cukup besar untuk menyimpan semua peralatan untuk digunakan untuk aktiviti kokurikulum.
Antara peralatan yang terdapat di dalam setor SK SYP 1 bagi menjalankan aktiviti kokurikulum ialah khemah, peralatan untuk memasak, peralatan untuk aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak, bola jaring, bola baling dan sebagainya. Peralatan yang disediakan sentiasa dipastikan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan. Pihak sekolah akan menggantikan peralatan yang rosak dengan peralatan yang baru.

4.0 PROGRAM DAN AKTIVITI

Melalui pemerhatian dan penelitian saya menerusi Buku Gerak Kerja kokurikulum SK SYP 1, terdapat perbagai aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh berbagai-bagai persatuan.
Pertama, Persatuan Bahasa Melayu telah merancang dan melaksanakan Permainan Bahasa yang terdiri daripada teka silang kata bagi mengasah dan meningkatkan kemahiran berfikir murid-murid. Seterusnya, Persatuan Bahasa Melayu telah mengadakan bengkel teknik penulisan karangan. Selain itu, persatuan ini juga mengadakan pertandingan membuat buku skrap, pertandingan bercerita, membaca puisi, mengumpulkan pantun-pantun dari akhbar atau majalah, pertandingan menulis karangan serta permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban. Aktiviti-aktiviti ini mampu menonjolkan bakat murid-murid yang terpendam dan melahirkan semangat cinta dan sayang kepada negara.
Kedua, Persatuan Bahasa Inggeris telah menjalankan aktiviti ‘Choral Speaking’, ‘Treasure Hunt’, ‘Story Telling’, menghasilkan Hot Dog Book dan penghasilan buku skrap. Aktiviti-aktiviti ini memerlukan semangat sepasukan yang tinggi sekali gus dapat membina perpaduan dalam kalangan murid-murid.
Ketiga, Persatuan Sains telah menjalankan aktiviti melukis dan melabelkan peralatan sains dalam kumpulan bagi mewujudkan semangat kerjasama murid-murid. Seterusnya, Persatuan Sains mengadakan pertandingan mengarang sajak dan mendeklamasikan sajak bertemakan topik sains. Ini membolehkan murid dapat mengaplikasikan pengetahuan sains untuk menghasilkan sajak dan menanam sikap berani dan yakin pada diri sendiri.
Keempat, Persatuan Bahasa Arab juga terdapat di SK SYP 1. Persatuan ini telah mengadakan pertandingan pidato, kuiz, teka silang kata dalam bahasa Arab. Objektif pertandingan ini adalah untuk memberi keyakinan kepada murid untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab, menguji minda murid dalam memahami kalimah Arab serta melahirkan murid yang kreatif. Dikir Barat juga telah dipertandingkan di sekolah ini dalam bahasa Arab. Kerjasama dalam kumpulan telah berjaya diwujudkan dalam aktiviti-aktiviti ini sekali gus dapat merialisasikan hasrat kerajaan untuk membina Negara Bangsa.
Selain itu, persatuan yang terdapat di sekolah ini ialah Persatuan Agama Islam. Persatuan ini telah mengadakan bengkel penulisan khat, bengkel mempelajari hukum tajwid, bengkel pengurusan solat jenazah dan pertandingan melaungkan azan dan iqamah. Menurut Guru Besar SK SYP1, program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan murid-murid. Ini menunjukkan murid-murid sangat berminat dalam aktiviti-aktiviti kerohanian.
Ringkasnya, semua aktiviti yang telah dirancangkan oleh persatuan tersebut telah dirancang dengan strategik bagi memastikan hasrat kerajaan untuk membina Negara bangsa tercapai. Pihak pengurusan sekolah telah merancang aktiviti dan program persatuan tersebut mengikut kehendak Jabatan Pelajaran Negeri dan seiring dengan prinsip 1 Malaysia.
Program-program yang telah dirancang dan dilaksanakan ini mampu menarik minat murid-murid untuk turut serta secara aktif kerana terlalu kagum dengan sikap guru yang sangat komited melaksanakan program tersebut.
Menurut Hanis Athirah, seorang murid Tahun 6, program dan aktiviti persatuan yang dijalankan di sekolah ini sangat menarik kerana terdapat pelbagai aktiviti yang dipertandingkan dan hadiah yang ditawarkan juga agak istimewa. Antara pertandingan yang pernah murid ini sertai ialah pertandingan menulis esei, pidato dan ‘Treasure Hunt’. Murid ini pernah mewakili sekolah dalam pertandingan sajak dan pidato dan menjadi johan di peringkat daerah. Murid ini juga pernah dinobatkan sebagai tokoh murid bulanan. Kejayaan yang diperoleh oleh murid ini sedikit sebanyak mampu memberi motivasi kepada murid-murid lain untuk turut mengikuti jejak langkah murid ini.

5.0 RUMUSAN

Pembinaan Negara Bangsa memerlukan usaha gigih daripada semua pihak di Malaysia amnya dan golongan pendidik khasnya. Melalui pendidikan, adalah diharapkan mampu menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Justeru, guru perlulah memainkan peranan yang penting dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk membina Negara Bangsa kerana guru merupakan orang yang paling banyak masa bersama murid-murid selepas ibu bapa. Guru perlu mempelbagaikan strategi dan pendekatan dalam pengajaran bagi memastikan perpaduan dapat diwujudkan.
Sekiranya pembinaan Negara Bangsa dapat dicapai, rakyat Malaysia akan terus hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu-padu.

RUJUKAN

Institut Tadbiran Awam (INTAN). (1980). Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan. Kuala Lumpur: INTAN.
Kamus Dewan Edisi Ke-4(2005); Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...