Sunday, September 19, 2010

PERANAN SEKOLAH DALAM MERIALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN



1.0 KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK)
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) merupakan teras kepada sistem pendidikan di Malaysia sejak 1988. FPK telah distruktur berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan berlandaskan ideologi kebangsaan yang menerapkan Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (Choong, 2008).
" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan jumlah dana hampir empat kali ganda bagi sekolah rendah dan lima kali ganda bagi sekolah menengah dalam aktiviti kokurikulum menunjukkan bahawa kokurikulum merupakan aktiviti yang amat relevan bagi melahirkan pelajar yang terampil. Che Aziz Jaafar, 2002 berpandangan bahawa penambahan dana ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang seimbang bukan sahaja dari aspek intelek, tetapi juga dari aspek sosial, rohani dan jasmani melalui penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum.

2.0 PERANAN PIHAK PENGURUSAN SEKOLAH DALAM MERIALISASIKAN HASRAT FPK
Sekolah memainkan peranan penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) kerana sekolah merupakan agen sosialisasi dan agen perubahan seseorang insan. Selain itu, sekolah juga merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada. Di sekolah jugalah nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam diri murid-murid untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek selaras dengan matlamat dan objektif FPK. Justeru, setiap individu di sekolah memainkan peranan masing-masing untuk melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Antara pihak yang berkaitan ialah Guru Besar, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, dan Guru Bilik Darjah.
2.1 Peranan Guru Besar
Sistem pengurusan SK Sungai Sam telah diterajui oleh guru besarnya En. Idris bin Muhamed dan dibantu oleh GPK1, GPK HEM dan GPK Kokurikulum. Mereka sangat komited dalam usaha merialisasikan FPK dari semasa ke semasa.
Bagi memastikan murid-murid di SK Sungai Sam cemerlang dari segi intelek, beliau telah menetapkan setiap murid tahun 6 perlu mengambil 9 kali ujian penilaian dalaman sebelum menduduki UPSR. Hal ini dilaksanakan bagi memastikan setiap murid darjah 6 sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi UPSR selain dapat mengesan murid-murid yang perlu diberikan perhatian dalam pelajaran sekali gus dapat memastikan semua pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Pihak pentadbir juga memastikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berjalan dengan baik.
Dalam merealisasikan FPK dari aspek jasmani, beliau juga sangat memberi penekanan dalam aspek kokurikum. Sebagai contoh, semua murid wajib hadir ke sekolah pada sebelah petang untuk menjalankan aktiviti kokurikulum pada setiap hari Rabu. Aktiviti kokurikulum termasuklah persatuan, unit beruniform serta sukan dan permainan.
Selain itu, beliau turut menekankan kecemerlangan emosi murid-murid. Beliau melantik beberapa orang guru untuk memantau keceriaan dan kebersihan dalam persekitaran dan juga di dalam bilik darjah. Kelas yang tercantik dan terbersiah akan memperoleh piala pusingan pada setiap minggu. Langkah ini sangat berkesan bagi memastikan murid-murid sentiasa menjaga suasana tempat belajar dan sekali gus dapat belajar dengan baik.
Aspek rohani juga sangat ditekankan di sekolah ini. Buktinya, pihak pentadbiran telah menganjurkan Kem Bestari Solat, Majlis Solat Hajat dan Sambutan Maulidur Rasul. Program-program ini telah berjaya memberi kesedaran kepada murid-murid tentang kepentingan aspek rohani untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.
2.2 Peranan Guru Penolong Kanan Kokurikulum
Guru Penolong Kanan Kokurikulum merupakan antara orang terpenting di sekolah. Beliau menjalankan tugas-tugas Guru Besar semasa ketiadaan Guru Besar, PK Pentadbiran dan PK HEM. Beliau juga bertanggungjawab kepada Guru Besar dalam aspek pengurusan kokurikulum. Beliau sentiasa membantu Guru Besar dalam semua aspek perancangan dan pengurusan kokurikulum sekolah. Selain itu, beliau merupakan orang yang menyelia dan menilai aktiviti Kokurikulum sekolah.
Bagi merialisasikan hasrat FPK, beliau telah merancang kegiatan persatuan dan kelab, unit beruniform dan permainan di dalam dan di luar sekolah. Beliau memastikan semua murid terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang. Beliau akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya murid-murid enggan mengambil bahagian dalam program yang telah diatur oleh pihak sekolah. Tindakan beliau jelas menunjukkan beliau mengambil berat dan bersungguh-sungguh untuk merialisasikan hasrat FPK.
2.3 Peranan Guru Bilik Darjah
Peranan guru amat penting dalam merealisasikan FPK. Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu iaitu insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Melalui temu bual dengan seorang guru kelas darjah 5A, En. Razak, beliau mengatakan guru bilik darjah memainkan peranan yang amat penting dalam keseimbangan murid-murid di sekolah. Guru kelas bertindak menggantikan ibu atau bapa ketika murid-murid di sekolah. Beliau perlu mengetahui setiap masalah pelajar supaya sesi pembelajaran tidak terganggu. Beliau juga mengambil berat tentang kehadiran murid ke sekolah. Kadang-kadang, beliau pergi ke rumah murid yang tidak datang untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh murid tersebut.
Beliau juga bertanggungjawab untuk membantu murid menghias kelas kerana terdapat program keceriaan yang dijalankan di sekolah. Penyusunan organisasi di dalam kelas dan jadual bertugas juga dilakukan oleh beliau. Bilik darjah yang ceria dan menarik dapat menarik minat murid-murid untuk datang ke sekolah.
Selain itu, beliau juga sentiasa memberi bimbingan dan sokongan kepada murid-murid mereka supaya rajin belajar agar mendapat keputusan yang cemerlang. Beliau bertanggungjawab dalam mendisiplinkan murid-murid di dalam kelasnya. Beliau juga sering memberikan nasihat yang dapat membina keyakinan murid-murid mereka untuk belajar dan mengamalkan nilai-nilai murni sekaligus dapat merialisasikan FPK.
2.4 Peranan Organisasi Kokurikulum
Organisasi Kokurikulum di sekolah sangat berperanan dalam merialisasikan hasrat FPK. Justeru, semua guru memainkan peranan dalam memastikan kegiatan kokurikulum di sekolah menjadi aktif. Guru-guru perlu menunjukkan semangat untuk memberi latihan kepada murid-murid dalam aktiviti kokurikulum yang telah dirancangkan.
Seterusnya, guru-guru perlulah sentiasa membimbing dan menyemai nilai-nilai murni dalam diri murid-murid semasa latihan aktiviti kokurikulum dan di luar waktu latihan. Dengan kata lain, guru-guru perlu menjadi role model kepada murid-murid.
Selain itu, organisasi kokurikulum bertanggungjawab melaksanakan semua aktiviti dan program kokurikulum yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dengan penuh semangat. Guru-guru juga sepatutnya sentiasa memberikan motivasi kepada murid-murid untuk menyertai program yang telah disediakan oleh pihak sekolah.
Seterusnya, organisasi kokurikulum berperanan menganjurkan dan mengadakan kursus kepada murid-murid untuk meningkatkan nilai kepimpinan serta memberi peluang kepada murid untuk memperlihatkan bakat dan kebolehan mereka. Dengan kursus yang dijalankan ini, murid-murid juga mendapat peluang untuk bersosialisasi dan meningkatkan komunikasi mereka.
3.0 PRASARANA DI SEKOLAH
Prasarana sekolah yang baik dan sempurna akan membantu merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Prasarana yang baik dan sempurna juga amat penting agar proses P&P murid-murid tidak akan terganggu malah membantu murid-murid untuk memperkembangkan lagi diri mereka.
Antara kemudahan yang terdapat di SK Sungai Sam dalam membina perkembangan fizikal ialah gelanggang dan padang. Padang di sekolah ini agak besar dan mencukupi untuk digunakan oleh semua warga SK Sungai Sam. Pelbagai aktiviti kokurikulum dilaksanakan di padang ini seperti Hari Sukan, pertandingan bola sepak, bola baling, bola jaring, olahraga dan sebagainya. Murid-murid perlu mematuhi peraturan penggunaan padang yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti memakai kasut, memakai baju sukan, tidak membuang sampah dan lain-lain ketika berada di padang.Tuntasnya, kemudahan-kemudahan yang disediakan ini banyak membantu murid dalam memperkembangkan fizikal mereka selaras dengan aspirasi FPK.
Aspek keselamatan alatan di sekolah ini juga diberikan penekanan yang serius. Tanggungjawab ini melibatkan seluruh warga sekolah dalam menjaga prasarana dan persekitaran sekolah. Pihak sekolah juga membuat penyelenggaraan kepada peralatan yang telah rosak. Keselamatan alatan sangat penting bagi membolehkan murid menggunakannya secara optimum dalam menjalanakan proses pembelajaran.
Penekanan terhadap keceriaan SK Sungai Sam juga amat dititikberatkan. Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan merangsang pembelajaran adalah sangat penting untuk menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari segala aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial.
Salah satu aspek keceriaan yang diberi penekanan ialah keceriaan di setor alatan. Setor alatan sentiasa dibersihakan dan alatan-alatan permainan disusun mengikut label yang telah disediakan. Keceriaan setor alatan ini mampu memupuk nilai estetika.
4.0 PROGRAM DAN AKTIVITI
Kokurikulum merupakan antara agenda utama di SK Sungai Sam bagi merialisasikan FPK. Terdapat tiga jenis kokurikulum yang dijalankan di sekolah ini iaitu persatuan, kelab dan permainan dan unit beruniform.
Aktiviti sukan dan permainan yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah ini telah menyumbang kepada perkembangan intelek, jasmani, emosi, rohani dan sosial murid berdasarkan kebolehan individu.
Antara aktiviti sukan dan permainan yang terdapat di sekolah ini adalah Hari Sukan 2010 dan larian merentas desa. Antara objektif aktiviti ini dilaksanakan adalah untuk menyeimbangkan antara perkembangan intelek dengan jasmani, sosial, emosi dan jasmani pelajar dan pengukuhan interaksi dan intergrasi dalam kalangan murid sekolah.
Selain itu, penubuhan kelab permainan seperti kelab badminton, kelab ping pong, kelab bola jarin, kelab catur dan sebagainya dapat mengasah bakat murid dan menerapkan ciri kepimpinan kepada murid-murid.
Pihak pentadbir sekolah sentiasa memastikan program sukan dan permainan berjalan mengikut takwim yang telah dirancang bagi memastikan visi dan misi sekolah tercapai sekaligus dapat merialisasikan hasrat FPK.
Jadi, dapatlah dirumuskan bahawa kegiatan sukan dan permainan amatlah penting untuk melahirkan masyarakat yang seimbang dari segala aspek sejajar dengan matlamat FPK.
5.0 RUMUSAN/CADANGAN
Daripada pemerhatian yang telah saya buat di sekolah ini, terdapat beberapa cadangan yang boleh dilakukan di sekolah ini dalam mencapai hasrat FPK.
Pertama, pihak pentadbiran terutamanya Guru Besar perlu sentiasa memantau dan menilai pengajaran guru serta memantau kemajuan murid. Guru Besar juga boleh memberi sedikit ganjaran untuk guru supaya guru-guru di sekolah ini lebih bersemangat untuk mengajar. Selain itu, Guru besar juga hendaklah menyediakan insentif untuk murid supaya timbul rasa minat dalam kalangan murid untuk terus bersaing secara sihat antara satu sama lain. Sekiranya perkara ini dilakukan, saya pasti FPK akan tercapai dengan jayanya kerana guru-guru dan murid-murid mendapat suntikan semangat melalui insentif dan ganjaran yang diberikan oleh Guru Besar.
Kedua, Guru Besar perlu turut sama terlibat dengan perlaksanaan aktiviti-aktiviti yang dirancang di sekolah. Guru Besar yang cemerlang akan sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada guru-guru untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik dan menarik minat murid-murid untuk belajar. Penglibatan secara langsung Guru Besar dengan organisasi sekolah amat penting dalam mewujudkan suasana dan iklim sekolah yang harmonis dan damai selaras dengan kehendak FPK.
Ketiga, pihak sekolah berperanan penting dalam melaksanakan matlamat FPK ini dengan meningkatkan keberkesanan dan pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, peranan sekolah menaiktarafkan pusat sumber sekolah dengan menambah bilangan buku dan kemudahan-kemudahan di dalam pusat sumber seperti alat penghawa dingin, sudut kognitif dan sudut bacaan akhbar dapat menarik minat murid dan guru-guru untuk ke sana. Jadi hal ini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan murid-murid selaras dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan.
Dari aspek rohani, pihak sekolah boleh menubuhkan persatuan agama Islam, kelab Tarannum dan banyak lagi di sekolah untuk mewujudkan keseimbangan perkembangan mental (akademik) dengan perkembangan sosial, jasmani, dan rohani murid-murid sejajar dengan kehendak FPK. Murid-murid juga dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah serta dapat melahirkan kesejahteraan diri dengan penglibatan mereka di dalam aktiviti ini.
Kesimpulannya, berdasarkan kepada semua huraian diatas, maka ternyatalah bahawa kejayaan sesebuah sekolah dalam merealisasikan FPK adalah bergantung kepada aspek pihak pentadbiran, prasarana, aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Semua aspek ini akan menentukan modal insan yang bakal dihasilkan sama ada memenuhi hasrat FPK atau tidak. Kejayaan sekolah dalam merealisasikan FPK juga secara tidak langsung mampu menjana dan membina modal insan yang berkualiti.
RUJUKAN
Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman. (2008), Falsafah pendidikan dan kurikulum. Tanjung Malim: Quantum Books.
Choong.L.K. (2009), Falsafah dan pendidikan di Malaysia untuk program perguruan pendidikan rendah pengajian tahun 4. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiaman Sdn. Bhd.
Falsafah pendidikan kebangsaan. (n.d). Retrieved Ogos 24, 2010, from http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php.
Che Aziz Jaafar dan Aminuddin Yusof (2002). “Perlunya Kokurikulum Dalam Sistem Pendidikan Sekolah.” Dalam Mohd. Sofian Omar Fauzee, Aminuddin Yusof dan Borhan Yusof (2002). “Kokurikulum Peranan Dan Implikasi.” Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

1 comment:

  1. assalamualaikum, under tajuk Sukan dan permainan memang inike huraiannye ?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...