Friday, July 30, 2010

LAPORAN BINA INSAN GURU FASA 2 2010





Seperti yang telah dirancang, pada hari ahad 4 Julai 2010, kumpulan kami dari PISMP Matematik dan PISMP Kajian Sosial Kohort 5 seramai 47 orang telah menjalankan Program Bina Insan Guru Siri 2 bersama Persatuan Penduduk Apartment Abdullah Hukum. Mentor kami turut mengiringi kami dalam program ini.

Pada pukul 7 pagi, kami telah berkumpul di tempat letak bas di blok 4 Asrama Pantai Puri IPG KBA. Kemudian, kami terus bergerak ke sana. Kami tiba di sana dalam pukul 7.15 pagi dan terus berkumpul di Dataran Abdullah Hukum, Apartment Abdullah Hukum 1. Kami disambut oleh warga penduduk di sana dengan meriah sekali. 

Pada masa itu, sebahagian penduduk di sana telah berkumpul di Dataran tersebut untuk sama-sama melakukan senamrobik. Tepat jam 7.30 pagi, kami bersama penduduk di sana memulakan senamrobik yang dipanggil senamrobik 1 Malaysia. Senamrobik ini amat berbeza dengan senamrobik yang pernah saya lakukan sebelum ini dan ianya sangat menarik. Senamrobik ini berakhir pada jam 9.00 pagi.

Seterusnya, kami bergerak ke dewan makan untuk menikmati juadah makanan yang telah disediakan oleh penduduk di sana sebagai sarapan pagi kami. Kami telah dihidangkan dengan pelbagai jenis kuih-muih, mee goring, dan teh tarik.

Kemudian, program diteruskan dengan bacaan doa dan ucapan perasmian program oleh YBM Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Dalam ucapan beliau dinyatakan bahawa program yang diberi nama ‘Gotong-royong Mesra” ini adalah pertama kali dijalankan oleh Persatuan Penduduk Apartment Abdullah Hukum 1. Beliau amat berterima kasih dan mengalu-alukan kedatangan kami untuk menyertai program ini.

Setelah program ini telah dirasmikan, kami telah ditugaskan untuk membersihkan Tanah Perkuburan Islam Jalan Ang Seng manakala penduduk yang lain diarahkan untuk membersihkan kawasan sekitar apartment. Tanpa membuang masa, kami terus menaiki bas untuk ke tanah perkuburan tersebut.

Setibanya di sana, kami telah diberikan peralatan-peralatan yang secukupnya seperti sarung tangan, parang, gergaji dan plastik sampah bagi membersikan tanah perkuburan tersebut. Tanpa melengahkan masa, kami meneruskan kerja-kerja membersihkan tanah perkuburan tersebut. Setelah banyak sampah telah dikumpul, saya dan Syahrul Amin dengan rela hati untuk memasukkan sampah-sampah ke dalam lori. Pengalaman berada di atas lori sampah memang sangat mencabar kerana terpaksa menghidu bau-bau yang agak busuk. Lama-lama kelamaan, saya rasa sangat seronok sehinggakan saya merasakan sedang berkerja dengan lori sampah DBKL.

Setelah hampir 2 jam melakukan pembersihan di sana, tiba-tiba cuaca tidak mengizinkan untuk kami meneruskan kerja-kerja tersebut. Hujan mulai turun dan kami memberhentikan kerja-kerja atas aspek keselamatan. Setelah mengemaskan semula barang-barang peralatan yang dibekalkan, kami menaiki bas untuk ke Apartment Abdullah Hukum 1 semula.

Sampai di sana, kami telah dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari yang telah dimasak sendiri secara bergotong-royong oleh kaum wanita penduduk di sana. Memandangkan perut kami semua telah memberikan isyarat lapar, maka kami terus beratur untuk mengambil makanan. Sambil makan, kami berborak-borak mesra dengan penduduk di sana. Kami juga diberikan sehelai baju oleh penganjur program tersebut.

Setelah selesai memenuhkan perut, kami meminta izin untuk berangkat pulang ke kampus. Sebelum meninggalkan Apartment tersebut, kami bersalam-salaman dengan penduduk di sana. Tepat jam 1.15 petang, kami pun pulang ke Asrama Pantai Puri IPG KBA dengan penuh gembira.

REFLEKSI

Sesungguhnya, program Bina Insan Guru(BIG) Siri 2 ini telah meninggalkan banyak kesan terhadap diri saya. Seperti mana yang kita sedia maklum, program Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu program yang dilaksanakan bagi melahirkan insan guru yang berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai spiritual dan sahsiah yang tinggi. Penghayatan yang begitu mendalam terhadap pelbagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam program BIG ini akan mengukuhkan keperibadian dan sahsiah yang terpuji serta etika keguruan dalam diri setiap bakal-bakal guru iaitu selaras dengan hasrat negara. Sesungguhnya BIG seharusnya menjadi elemen yang berkesan untuk menjadikan warga bakal pendidik menjadi insan yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat & berbakti kepada nusa, bangsa dan juga negara.

Selain itu, program Bina Insan Guru Insan ini dapat membina insan guru yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan fizikal mental , rohani dan bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara selaras dengan nilai-nilai keguruan.

Melalui program ini, semangat setiakawan, toleransi, kerjasama dan tolong menolong antara guru pelatih telah berjaya dipupuk. Contonya, kami telah membersihkan tanah perkuburan secara bersama-sama. Secara tidak langsung, hubungan kami dengan warga penduduk kampong tersebut makin bertambah rapat.

Di samping itu, saya juga dapat menghayati kepentingan menjaga kebersihan seperti yang dituntut oleh agama Islam.

Secara keseluruhannya, program BIG ini berjalan dengan jayanya dan telah mencapai objektif yang dihasratkan. Program ini seharusnya diteruskan untuk generasi yang akan datang agar insan guru yang cemerlang dari semua aspek dapat dibentuk.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...