Thursday, April 1, 2010

LAPORAN BINA INSAN GURU FASA 1 2010





SELASA, 30 MAC 2010
Hari ini merupakan hari pertama saya menjalani program Bina Insan Guru (BIG). Setelah selesai solat subuh dan sarapan pagi, 10 minit sebelum pukul 8.00 pagi, kami telah berkumpul di laluan hijau untuk sesi pertama bersama Encik Mohd Arus Bin Kudus selaku Kem Komandan untuk sesi amanat dan taklimat daripada beliau. Taklimat ini berlangsung kira-kira 1 jam. Selepas itu, kami mempersiapkan kawasan perkhemahan termasuklah membersihkan kawasan ini. Kemudian, kami membuat raptai sebelum majlis perasmian program BIG yang berlangsung pada jam 10 pagi yang telah dirasmikan oleh Pengarah IPG KBA, Dr. Mohd Sofi B. Ali. Saya bertindak selaku pengerusi majlis untuk majlis ini. Antara kandungan ucapan beliau adalah beliau menegaskan tentang aspek keperibadian yang perlu dimiliki oleh seseorang guru.
Majlis perasmian ini telah berlangsung kira-kira 2 jam. Setelah selesai majlis ini, kami mula mendirikan khemah. Apa yang menarik adalah pengalaman pertama saya belajar memasang khemah jenis Tent A. Khemah ini memerlukan kerjasama yang sangat tinggi untuk didirikan. Saya sangat bertuah kerana semua peserta program ini telah memberikan kerjasama yang sangat erat dalam memasang khemah ini. Akhirnya sebanyak dua khemah jenis ini telah berjaya didirikan.
Kemudian, kami telah meyediakan makanan untuk makan tengah hari. Setelah selesai memenuhkan perut yang kosong, kami menunaikan solat zohor secara berjamaah di tapak perkhemahan kami.
Pada jam 2.30 petang, kami telah pergi ke DKA untuk melakukan Ujian Personaliti yang dikendalikan oleh Encik Hamizan iaitu seorang Kaunselor IPG KBA. Ujian ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti personaliti masing-masing. Setelah tamat, kami menunaikan solat Asar secara berjamaah.
Selepas selesai solat magrib dan isyak, kami telah berkumpul mengikut kumpulan masing-masing. Kumpulan-kumpulan ini dipilih melalui cabutan yang telah dibuat sebelum BIG ini bermula. Di dalam kumpulan, kami dikehendaki memikirkan tentang nama kumpulan dan lagu sorak kumpulan. Kelihatan semua kumpulan bersungguh-sungguh dalam mempamerkan lagu sorak masing-masing. Macam-macam gaya telah ditunjukkan oleh para peserta.
RABU, 31 MAC 2010
Saya telah bangun pada jam 3.30 pagi untuk mennggantikan tugas kawan saya untuk menjaga kawasan perkhemahan. Saya bertugas bersama dua orang kawan saya iaitu Husna dan Zahidah. Kami bertugas sehingga jam 5.30 pagi. Selepas mengejutkan kawan-kawan daripada tidur yang agak lena, saya telah membuat persiapan diri untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah. Selepas solat Subuh, kami telah mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Zaradi Bin Sudin. Kemudian, kami telah menjalankan senaman pagi di sekitar IPGKBA.
Pada pukul 7.30 pagi, kami telah mengambil sedikit sarapan pagi. Kemudian, kami telah mengemaskan segala peralatan perkhemahan untuk dibawa ke Port Dickson. Kami semua bekerjasama mengangkut semua peralatan ke dalam bas dan van. Pada pukul 10 pagi, kami telah bertolak ke Port Dickson dan tiba di sana pukul 1.00 petang. Setibanya di sana, kami terus mendirikan khemah.
Pada jam 3.00 petang, kami telah menjalankan aktiviti jejak kembara di Tanjung Tuan. Sebelum itu, kami dikehendaki berkumpul untuk untuk sesi taklimat. Kami bergerak dalam satu kumpulan yang besar dan diiringi oleh pensyarah. Dalam jejak kembara ini, kami telah merentasi Tanjung Tuan, menyusuri pesisiran pulau dan sebagainya. Dalam pengembaraan ini, saya telah melihat Rumah Api di puncak bukit. Ini merupakan pengalaman pertama saya melihat Rumah Api. Kemudian, kami juga telah belajar membaca kompas di puncak bukit tersebut. Perjalanan ini agak mencabar dan sangat memenatkan. Walau bagaimnapun, ianya sangat menyeronokkan kerana pengembaraan ini lain daripada pengalaman saya mengembara di tempat lain.
KHAMIS, 1 APRIL 2010
Seperti hari-hari yang lain, saya telah bangun awal pagi untuk menunaikan solat Subuh. Ini merupakan hari kedua kami di Port Dickson ini. Selepas selesai solat subuh, kami mendengar tazkirah ringkas. Kemudian, kami telah mengambil sarapan pagi.
Aktiviti seterusnya adalah berkayak. Kami dipecahkan kepada dua kumpulan yang besar. Kumpulan pertama terdiri daripada 22 orang peserta dan bakinya adalah kumpulan kedua. Saya adalah merupakan kumpulan kedua. Jadi, saya dan rakan-rakan yang lain melakukan aktiviti lain sementara menunggu kumpulan pertama selesai berkayak. Antara aktiviti yang kami jalankan ialah membersihkan kawasan perkhemahan, memasak, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya.
Kumpulan kami berkayak pada jam 12 tengah hari. Cuaca pada masa itu sangat panas. Sebelum kami berkayak, En. Thahir Kamaruzaman selaku jurulatih aktiviti air telah memberi sedikit penerangan berkenaan dengan cara berkayak dengan betul. Beliau juga telah menentukan pasangan kayak masing-masing. Selepas itu, kami mula berkayak ke Teluk Kemang. Sesampai di Teluk Kemang, kami berehat agak lama akibat terlalu penat. Perjalanan balik ke kawasan perkhemahan agak mencabar kerana ombak yang kuat melanda. Walau bagaimanapun, kami semua selamat sampai di tapak perkhemahan. Pengalaman berkayak memang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila.
Selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak, kami telah menyediakan BBQ untuk makan malam. Semua peserta bertungkus lumus untuk menyiapkan BBQ. Selepas puas menjamah makanan BBQ, kami telah membuat persembahan mengikut kumpulan. Kumpulan saya membuat persembahan dikit barat yang telah diketuai oleh saya sendiri. Semua kumpulan membuat persembahan yang sangat menarik.
Selepas itu, kami pulang ke khemah masing-masing untuk beradu tenaga. Kumpulan yang berjaga malam itu meneruskan tugasan mereka. Kira-kira jam 12 tengah malam, saya berjaya melelapkan mata dan menikmati mimpi yang sangat indah.
JUMAAT, 2 APRIL 2010
Seawal jam 5.30 pagi, saya telah bangkit daripada tidur. Saya terus pergi membersihkan badan bersama rakan-rakan yang lain. Setelah selesai solat subuh dan sarapan pagi, kami dikehendaki mengemas segala peralatan untuk dibawa pulang ke kampus.
Sementara menunggu bas tiba, kami telah mengadakan sesi refleksi. Dalam sesi refleksi ini, peserta-peserta BIG telah menyatakan perasaan, komen dan kritikan terhadap segala aktiviti yang telah dijalankan. Pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan telah disuarakan oleh peserta-peserta.
Akhirnya, bas tiba pada jam 1.00 petang. Pada masa itu, sesi refleksi belum tamat. Namun, tidak lama selepas itu En. Arus telah menamatkan sesi refleksi tersebut. Kami dengan serta merta mengangkut semua peralatan ke dalam bas dan van. Kemudian, saya dengan berat hati telah meninggalkan kawasan perkhemahan ini. Sesungguhnya, banyak kenangan dan pengalaman baru yang saya telah pelajari di sini.
Setelah 3 jam berada di atas bas, akhirnya saya telah sampai di IPG KBA. Tanpa melengahkan masa, kami telah memindahkan segala peralatan di dalam bas ke dalam stor. Selepas itu, kami pulang ke asrama dan berehat.
REFLEKSI
Program Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu program yang dilaksanakan bagi melahirkan insan guru yang berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai spiritual dan sahsiah yang tinggi. Penghayatan yang begitu mendalam terhadap pelbagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam program BIG ini akan mengukuhkan keperibadian dan sahsiah yang terpuji serta etika keguruan dalam diri setiap bakal-bakal guru iaitu selaras dengan hasrat negara. Sesungguhnya BIG seharusnya menjadi elemen yang berkesan untuk menjadikan warga bakal pendidik menjadi insan yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat & berbakti kepada nusa, bangsa dan juga negara.
Selain itu, program Bina Insan Guru Insan ini dapat membina insan guru yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan fizikal mental , rohani dan bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara selaras dengan nilai-nilai keguruan.
Program ini juga dapat membina daya kepimpinan dan memupuk sikap bertanggungjawab, berfikiran kritis dan kreatif serta menghayati misi dan visi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Melalui program ini juga, saya telah belajar untuk menepati masa. Setiap aktiviti yang dijalankan memerlukan kami untuk bersiap sedia 10 minit lebih awal. Saya juga telah mengakui pepatah yang menganggap masa itu sebagai emas. Menepati masa adalah sangat penting bagi memastikan setiap aktiviti yang dilaksanakan berlangsung dengan lancar.
Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan adalah mencabar seperti berkayak dan jejak kembara. Aktiviti seperti ini dapat memupuk sifat berkerjasama dan ketahanan diri yang utuh.
Secara keseluruhannya, program BIG ini berjalan dengan jayanya dan telah mencapai objektif yang dihasratkan. Program ini seharusnya diteruskan untuk generasi yang akan datang agar insan guru yang cemerlang dari semua aspek dapat dibentuk.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...